Kerajaan aktifkan jawatankuasa khas kekang ketirisan, penyeludupan barang kawalan

KERAJAAN mengaktifkan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) susulan peningkatan risiko penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan akibat konflik Asia Barat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengaktifan jawatankuasa itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bertindak sebagai urus setia.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan, khususnya bahan api diesel dan petrol, berikutan lonjakan harga minyak global akibat konflik Asia Barat.

“Risiko ketirisan berlaku kerana harga runcit diesel dan petrol di Malaysia masih lebih rendah berbanding harga pasaran, walaupun pelarasan harga telah dibuat bagi tempoh 12 hingga 18 Mac 2026.

“Pelarasan harga berkenaan terpaksa dibuat lanjutan daripada peningkatan tinggi harga minyak Brent dunia di paras antara AS$90 hingga melebihi AS$100 setong minggu sebelumnya berbanding antara AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik bermula,” katanya.

Armizan berkata, risiko ketirisan dan penyeludupan menjadi semakin besar bagi Sabah dan Sarawak kerana pemberian subsidi pukal diesel masih diteruskan kepada pengguna di kedua-dua negeri berkenaan.

‎ “Bagi kedua-dua negeri ini, harga pam diesel hanya RM2.15 seliter berbanding harga pam diesel di Semenanjung, iaitu RM3.92 seliter manakala harga pasaran Automatic Pricing Mechanism (APM) semasa mencecah RM4.30 seliter.

‎‎”Ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak membeli diesel di pam kurang separuh daripada kos sebenar,” katanya

Beliau juga berkata, ‎implikasi tanggungan subsidi kerajaan yang sememangnya amat besar, akan menjadi semakin besar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.

“Sebagai contoh subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi kedua-dua negeri ini mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak bagi 2025.

“Berdasarkan kadar jumlah penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, implikasi tanggungan subsidi kerajaan ini akan mencecah RM4.6 bilion bagi 2026,” katanya.

Amizan berkata, ‎mengambil kira ketidaktentuan konflik Asia Barat dan harga minyak global, antara langkah intervensi serta-merta diputuskan Kabinet adalah keperluan memperkasa penguatkuasaan merentasi keseluruhan agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Selain kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, fokus utama adalah Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor subsidi pukal diesel masih berkuat kuasa dengan jurang harga subsidi, harga pam dan harga pasaran amat besar melebarkan ruang risiko ketirisan dan penyeludupan,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img