POLIS Diraja Malaysia (PDRM) giat mengesan penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri yang dipercayai berada di Thailand bagi membawa pulang kedua-dua individu itu untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata usaha mengesan kedua-dua individu itu turut dijalankan melalui pegawai perhubungan keselamatan (SLO) PDRM di Thailand bersama pihak berkuasa negara berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka dikesan keluar dari negara ini melalui jalan sah ke Thailand.
“Kita (PDRM) sedang menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi membawa pulang mereka untuk dituduh di mahkamah,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Semalam, media melaporkan, PDRM mengesan dua individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes berkaitan ketenteraman awam dan sensitiviti agama dipercayai telah melarikan diri ke Thailand.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hasil risikan mendapati kedua-dua suspek iaitu Zamri dan Tamim telah meninggalkan negara dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand


