Bawang, cili, ikan antara 27 barang kawalan sempena Aidilfitri

BAWANG, cili dan beberapa jenis ikan antara 27 barangan yang diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2026 yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 28 Mac.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr.Fuziah Salleh berkata, skim berkenaan dilaksanakan selama 15 hari, merangkumi tujuh hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan tujuh hari selepasnya.

“Sebanyak 27 jenis barangan dikenal pasti sebagai barangan harga terkawal dengan jumlah berbeza mengikut negeri iaitu 24 barangan di Semenanjung Malaysia, 23 di Sabah dan Sarawak serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Antara barangan yang terlibat ialah bawang kuning besar, bawang merah, bawang putih, cili merah, cili kering, ikan kembung, ikan selayang, kacang panjang, kubis bulat import, tomato, santan kelapa dan ubi kentang,” katanya.

Fuziah berkata, penentuan senarai barangan, harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk ketersediaan bekalan, kos semasa, keadaan cuaca, kadar upah serta pandangan daripada agensi kerajaan dan pemain industri.

“Bagi memastikan pematuhan peniaga, pegawai penguat kuasa KPDN akan melaksanakan pemeriksaan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.

“Semua peniaga yang terlibat juga diingatkan supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal,” ujarnya.

Tegasnya, kegagalan mematuhi peraturan di bawah skim itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu jika sabit kesalahan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img