TENTERA Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan bahawa operasi balas akan diteruskan tanpa henti sehingga pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau ini dimusnahkan sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan IRGC memaklumkan, pasukan tenteranya melancarkan serangan dua fasa sebagai sebahagian daripada Operasi True Promise 4, dengan menyasarkan ibu pejabat tentera AS di pangkalan udara Al Dhafra menggunakan peluru berpandu balistik yang mengenai sasaran dengan ketepatan tinggi.
Menurut kenyataan itu, dalam operasi ofensif berkenaan, radar amaran awal, pusat kawalan dan perintah, serta lokasi perhimpunan tentera AS di pangkalan tersebut berjaya diserang tepat menggunakan gabungan peluru berpandu jelajah dan balistik.
Tentera Laut IRGC turut menegaskan bahawa mereka akan terus melancarkan serangan dengan kekuatan penuh sehingga penghapusan sepenuhnya pangkalan tentera AS di rantau Asia Barat yang menurutnya merupakan punca utama ketidakstabilan, kekacauan serta pembunuhan umat Islam di kawasan tersebut.
Amerika Syarikat dan rejim Zionis sebelum ini melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran terhadap Iran selepas pembunuhan Pemimpin Revolusi Islam Ali Khamenei bersama beberapa komander kanan tentera dan orang awam pada 28 Februari.
Serangan tersebut melibatkan serangan udara meluas ke atas lokasi tentera dan awam di seluruh Iran, yang mengakibatkan ramai korban serta kerosakan besar terhadap infrastruktur.
Sebagai tindak balas, Angkatan Bersenjata Iran melancarkan beberapa operasi balas dengan menyasarkan kedudukan Amerika Syarikat dan Israel di wilayah yang diduduki serta pangkalan tentera di rantau ini menggunakan gelombang peluru berpandu dan dron.


