GEMPA bumi lemah dengan kekuatan 3.2 magnitud berlaku di perairan Batu Pahat hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata, gempa bumi lemah itu berlaku kira-kira 10 kilometer Barat Daya, Batu Pahat.
Katanya, gempa itu berpusat pada koordinat 1.7 darjah Timur, 102.7 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer.
“Gempa lemah direkodkan pada jam 6.07 petang dengan gegaran mungkin dirasai di sekitar kawasan itu. MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” kata jabatan itu melalui Facebook.
MetMalaysia memohon penduduk yang merasai gegaran gempa bumi terbabit agar mengisi borang kaji selidik melalui pautan https://forms.gle/CyUwHQE9LnyuWaJ37.
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa serta kerosakan harta benda dilaporkan berlaku.
“Saya menasihatkan orang ramai agar kekal bertenang, menjauhi struktur yang tidak kukuh serta sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya di Facebook.
Sejak Ogos lalu, daerah Segamat dan kawasan sekitar merekodkan lebih lima gegaran dengan kekuatan antara 2.5 hingga 4.1 magnitud. Gempa juga direkodkan di Batu Pahat pada akhir Ogos dan awal September lalu.


