SEORANG mekanik warga emas kerugian RM249,350 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Mangsa seorang lelaki berusia 64 tahun dari Temerloh itu mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada dua individu tidak dikenali pada 22 Jun tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dua suspek terbabit menawarkan peluang pelaburan dalam pembelian Coin America serta saham yang kononnya menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
“Mangsa kemudiannya diyakinkan untuk membuat beberapa transaksi deposit wang kepada akaun bank yang diberikan suspek bagi tujuan pelaburan itu.
“Sebanyak enam transaksi pemindahan wang kepada tiga akaun bank yang keseluruhannya berjumlah RM249,350 yang juga wang simpanan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebaik semua transaksi dilakukan, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
Katanya, mangsa kemudian cuba menghubungi individu terbabit beberapa kali tetapi gagal sebelum menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Yahaya menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berhampiran sebelum membuat sebarang pelaburan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.


