Pemuda Pas Selangor desak kerajaan tunai janji hapuskan penggunaan vape

DEWAN  Pemuda Pas Selangor hari ini mendesak kerajaan menunaikan janji untuk menghapuskan penggunaan vape (rokok elektrik).

Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, rakyat masih memegang janji menteri sebelum ini yang menyatakan komitmen untuk bertindak tegas terhadap isu vape.

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

”Namun, sehingga hari ini, sudah genap tiga bulan daripada tarikh yang dijanjikan, tetapi bayang tindakan konkrit masih belum kelihatan. Statistik menunjukkan peningkatan kes EVALI (kecederaan paru-paru akibat vape) di Malaysia dengan kos rawatan mencecah RM150,000 bagi setiap pesakit,’’ katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, adalah sangat ironi jika kerajaan begitu bertegas dengan isu plastik atas alasan alam sekitar, tetapi dalam masa yang sama bersikap acuh tidak acuh terhadap ancaman “asap kimia” yang merosakkan paru-paru anak muda.

Merujuk kepada  kepada cadangan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin untuk menilai semula caj beg plastik daripada 20 sen kepada kadar baharu, beliau berkata, secara prinsipnya Pemuda Pas menyokongnya.

‘’Kami menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memperkasa agenda kelestarian alam sekitar ini demi kesejahteraan generasi masa depan rakyat Selangor. Data menunjukkan Selangor menghasilkan sekitar 7,000 tan sisa pepejal sehari, di mana plastik merupakan komponen kedua terbesar yang mencemarkan tapak pelupusan sampah kita,’’ katanya.

Beliau berkata, perlu ditegaskan bahawa dasar “Selangor Tanpa Beg Plastik” ini bukanlah satu perkara asing bagi kami.

” Ia merupakan kesinambungan polisi yang telah diperkenalkan sejak zaman pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (2010) dan diperkasakan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (2017),’’ katanya.

Pada ketika itu, kata beliau, Pas adalah sebahagian daripada saf kepimpinan kerajaan negeri yang bersama-sama merangka dan menguatkuasakan inisiatif hijau ini sehingga ia menjadi budaya masyarakat hari ini.

”Walau bagaimanapun, dalam kesibukan kerajaan negeri memperketat peraturan plastik, kami ingin mengingatkan pihak menteri dan kerajaan pusat agar tidak bersikap “pilih kasih” dalam isu kesihatan awam.

‘’Janji menghapuskan penggunaan vape haru segera ditunaikan. Pemuda Pas Selangor akan terus memantau rapat perkembangan kedua-dua isu ini. Kami mahu Selangor bukan sahaja bebas plastik, tetapi juga bebas daripada wabak vape yang merosakkan moral dan kesihatan rakyat,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img