SEORANG pengawal keselamatan kerugian RM2,450 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pembelian motosikal yang diiklankan menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut daripada seorang lelaki pada Khamis lalu.
“Mangsa berminat untuk membeli sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang diiklankan di laman Facebook sebelum berurusan dengan individu yang mendakwa sebagai penjual secara dalam talian.
“Mangsa kemudiannya membuat pembayaran ke dalam dua akaun bank berbeza seperti diminta oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Lazim berkata, mangsa kemudian bertemu dengan penjual terbabit dan berpuas hati dengan keadaan motosikal yang ingin dibeli.
“Namun ketika mangsa ingin membawa pulang motosikal tersebut, penjual itu mendakwa tidak menerima sebarang bayaran dan akaun yang menerima wang tersebut tiada kaitan dan tidak dikenalinya.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,450. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.


