Mesyuarat MTEN esok bincang impak krisis Asia Barat

MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan diadakan esok di ibu negara bagi membincangkan impak konflik Asia Barat yang berpanjangan terhadap sektor pengangkutan, khususnya penerbangan serta langkah mitigasi bagi menjamin bekalan minyak dan gas.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan itu turut membabitkan beberapa kementerian lain berkaitan serta pemain industri.

“Kita mahu meneliti bekalan minyak dan langkah mitigasi untuk terus menjamin bekalan negara. Kita juga akan menumpukan industri yang terkesan dengan gangguan bekalan minyak global,” katanya selepas menghadiri program Jualan Rahmah Kasih Sayang di Johor Bahru hari ini.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, konflik berpanjangan itu dijangka menjejaskan bekalan minyak dan gas global, khususnya bagi penghantaran melalui Selat Hormuz yang menjadi antara laluan utama perdagangan tenaga dunia.

Beliau berkata, sebarang gangguan pengeluaran di Iran atau di kawasan Asia Barat juga akan memberi kesan terhadap bekalan beberapa komponen lain yang diimport negara di seluruh dunia sekali gus menjejaskan rantaian bekalan global.

Tambahnya, banyak industri bergantung kepada minyak sama ada bagi proses pengeluaran atau pengedaran, justeru gangguan bekalan boleh meningkatkan kos pembuatan.

Jelasnya, keadaan itu turut memberi implikasi kepada kos logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan, seterusnya boleh mempengaruhi harga barangan serta memberi tekanan kepada kadar inflasi negara.

“Walaupun tahun lalu kita kekal berdaya tahan dan mengekang inflasi pada sekitar 1.4 peratus untuk keseluruhan 2025, namun bagi bulan berikut dan seterusnya, ini akan ada kesan inflasi kerana gangguan rantaian bekalan memandangkan kos input dan output berkaitan minyak meningkat,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img