LITAR samseng jalanan di Jalan Tun Abdul Razak berhampiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh, digempur polis dalam Ops Motosikal Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka bermula tengah malam tadi hingga jam 7 pagi.
Dalam operasi itu, sebanyak 319 saman dikeluarkan selain 79 motosikal disita atas pelbagai kesalahan trafik.
Ketua JSPT Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 278 individu dan 250 kenderaan diperiksa membabitkan 214 motosikal serta 36 kereta.
“Antara kesalahan utama dikesan adalah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu, ekzos bising, tiada insurans serta pengubahsuaian kenderaan tidak dibenarkan.
“Selain itu, polis turut menahan tiga lelaki iaitu dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal berusia antara 18 hingga 36 tahun selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketiga-tiga mereka kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Muhammad Zaki berkata, dalam operasi sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 165 notis P22, 19 notis mengikut Seksyen 59(2) serta 22 arahan pemeriksaan di bawah Seksyen 61 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang trafik.


