AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kelantan sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket penyeludupan manusia dan barang larangan di perairan negeri itu yang sering mengubah taktik bagi mengaburi pihak penguat kuasa.
Pengarahnya, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, hasil siasatan dan risikan dijalankan pihaknya, modus operandi penjenayah maritim kini sering berubah-ubah.
Terkini menurut beliau, kegiatan sindiket jenayah maritim kini mengupah tekong tempatan dan orang dalam untuk menjalankan kerja-kerja penyeludupan.
“Daripada segi pengoperasian, teknik yang digunakan mereka adalah menyusup dalam keadaan gelap dan senyap,” katanya ketika ditemui dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Ops Pagar Laut dan Majlis Iftar di atas Kapal Maritim di Pasir Puteh.
Menurut Kamal, tahun lalu sebanyak empat kes tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan direkodkan mengikut Akta Perikanan 1995, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Kastam 1967 dengan nilai keseluruhan rampasan RM1.46 juta.
Katanya, rekod pelaksanaan operasi itu membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu melalui kerjasama erat antara agensi keselamatan dalam mengekang pencerobohan, penyeludupan serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Tahap kesiapsiagaan anggota dan aset turut dipertingkatkan melalui penugasan berterusan, rondaan berjadual serta operasi berasaskan maklumat risikan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap sebarang ancaman yang dikesan,” katanya.
Sementara itu, Kamal memberitahu, Maritim Malaysia Kelantan melaksanakan Ops Khas Pagar Laut 2026 sepanjang bulan Ramadan dan Syawal bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negeri ini.
Katanya, operasi itu diaktifkan semula sejak 27 Februari sehingga 10 April depan seperti dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh kawalan keselamatan negara.
Tambah beliau, perairan negara dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi aktiviti jenayah rentas sempadan sepanjang tempoh perayaan.


