POLIS mengesahkan seorang lelaki yang bersenjatakan objek tajam meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital selepas ditembak pengawal keselamatan ketika cuba menyamun sebuah kedai emas di Seksyen 14, Petaling Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat mengesahkan perkara itu dan memaklumkan proses bedah siasat akan terus dijalankan.
“Ya saya sahkan… akan buat post mortem. Apa-apa maklumat lanjut akan saya kongsikan nanti,” katanya ringkas kepada media, lapor Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan, seorang perompak cedera selepas dipercayai ditembak pengawal keselamatan ketika cuba menyamun sebuah kedai emas di Seksyen 14.
Tinjauan di lokasi mendapati kenderaan polis dan ambulans berada di lokasi kejadian kira-kira jam 11 pagi sebelum pasukan forensik dilihat tiba tidak lama kemudian.
Beberapa saksi yang ditemui mendakwa melihat individu berpakaian hitam menaiki motosikal masuk ke kedai terbabit sebelum mendengar bunyi letupan.
Difahamkan, polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian namun tidak dapat dipastikan keadaan suspek ketika itu.


