POLIS Melaka merampas enam laras senapang angin dan sepucuk pistol dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Tanjung Minyak, Melaka tengah malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam oleh pasukan Unit D7 dan D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu, seorang lelaki berusia 42 tahun telah ditahan.
“Dalam serbuan itu polis menemukan enam laras senapang angin dan komponen, sepucuk pistol jenis Sig Sauer, 100 peluru 9 mm blank cartridges, tiga set walkie-talkie, satu set radio komunikasi mudah alih, enam beg sarung laras senapang, satu mesin gerudi, alat pengukur dan pengikir.
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai kemahiran untuk memodifikasi senapang angin yang dibeli pada harga antara RM1,000 hingga RM1,500 sebelum dijual antara RM3,000 hingga RM3,500 manakala pistol itu milik individu yang sedang dibaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Senior Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.
Dzulkhairi berkata, suspek yang merupakan penduduk asal negeri ini mempunyai pelanggan dari seluruh negara dan kebanyakan senapang yang diubah suai digunakan untuk memburu binatang atau dijadikan koleksi peribadi.
“Suspek dikatakan mempelajari cara memodifikasi senapang menerusi YouTube dan pernah ditahan atas kesalahan sama pada 2022 serta mempunyai beberapa rekod lampau termasuk pecah rumah dan ugutan jenayah.
“Suspek juga sering berpindah di negeri ini bagi mengelak kegiatannya dihidu pihak berkuasa,” katanya dan menambah ujian balistik akan dijalankan Unit Senjata IPK Melaka untuk mengesahkan jika senjata itu pernah digunakan dalam aktiviti jenayah.
Beliau berkata, suspek yang positif dadah methamphetamine direman hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) dan 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berasingan, Dzulkhairi berkata sebanyak 300,000 hingga 400,000 kenderaan dijangka masuk ke Melaka sempena sambutan Aidilfitri kali ini, dengan hanya 10 peratus daripada kira-kira 3,000 pegawai dan anggota polis dibenarkan bercuti pada hari raya.
Beliau berkata, tumpuan penugasan juga diberikan terhadap kelancaran trafik terutama di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ) yang dijangkakan akan menerima aliran trafik tinggi, terutamanya menghala ke Muar kerana sering digunakan mereka yang pulang ke Johor Bahru.


