Tiada PdPR, sesi persekolahan berjalan seperti biasa – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menetapkan sesi persekolahan berjalan seperti biasa buat masa ini dan tiada sebarang ketetapan dibuat untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara.

“KPM prihatin terhadap semua kegusaran yang dibangkitkan masyarakat berhubung berita yang tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dilaporkan berkata, KPM akan meneliti secara menyeluruh pelaksanaan PdPR bagi memastikan keputusan yang bakal dibuat mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa dan murid.

Pada Khamis lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata, pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah (BDR) dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.

Ini berikutan ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img