KPM telah selesaikan masalah pelaksanaan loker sekolah

HAMPIR 400,000 loker sudah dibekalkan ke sekolah rendah di seluruh negara untuk meringankan beban beg sekolah yang berat.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memaklumkan, inisiatif yang diumumkan pada Mac 2022 itu menyasarkan pelajar sekolah rendah, dengan RM37.3 juta diperuntukkan bagi pelancaran dua fasa.

Kementerian tersebut memberitahu, sebanyak 249,646 loker dibekalkan kepada 626 sekolah dalam fasa pertama dan 135,452 loker kepada 641 sekolah dalam fasa kedua menjadikan jumlah kesemuanya 385,098 loker.

Menurut Jabatan Perangkaan, kira-kira 2.99 juta pelajar mendaftar di sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan pada 2023.

“Penyediaan loker kepada pelajar sekolah rendah di sekolah dua sesi selesai dalam dua fasa.

“Fasa pertama pada 2022 membabitkan pelajar Tahun 1 dan Tahun 2. Fasa kedua pada 2024 meliputi pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 yang digugurkan daripada fasa pertama, serta pelajar Tahun 3,” kata KPM dalam kenyataan, lapor FMT.

KPM berkata, ia kekal komited menyelesaikan isu lama beg sekolah berat dan memperkenalkan langkah holistik, termasuk buku teks digital, pendekatan pengajaran disemak semula serta jadual waktu sekolah distrukturkan semula.

Jelasnya, jadual waktu sedang dirangka dengan tiga hingga empat mata pelajaran setiap hari, mengambil kira pemberat mata pelajaran, ketersediaan guru dan sesi persekolahan. Sekolah mempunyai fleksibiliti untuk menerima pakai jadual waktu kitaran mingguan, amalan yang dilaksanakan di beberapa sekolah.

Terdahulu, Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim meminta KPM menjelaskan apa yang berlaku kepada inisiatif berkenaan, dengan mendakwa ibu bapa hanya melihat sedikit perkembangan sejak pengumuman itu dibuat hampir empat tahun lalu.

Menurutnya, tiada penjelasan mengapa fasa kedua program itu untuk pelajar sekolah rendah lebih tua, kelihatan terhenti.

Beliau berkata, ibu bapa berhak mendapat ketelusan sama ada berlaku kelewatan, perubahan pendekatan atau `pemberhentian senyap’ rancangan berkenaan kerana situasi itu mencerminkan kelemahan lebih besar dalam pelaksanaan dasar awam.

“Sehingga kini, tiada penjelasan jelas atau terperinci daripada kementerian berhubung alasan fasa kedua kelihatan terhenti.

“Apa yang ibu bapa lihat ialah jurang antara pengumuman awal dan susulan di lapangan yang menimbulkan persoalan.

“Malangnya, keadaan ini mencerminkan corak berulang di mana dasar diumumkan dengan niat baik, tetapi pelaksanaan dan kesinambungan sering menjadi cabaran,” katanya.

Isu ini turut dibangkitkan di media sosial baru-baru ini, dengan ibu bapa menyuarakan kebimbangan mendalam tentang berat beg sekolah anak mereka yang disamakan dengan `latihan komando’ kerana usaha fizikal diperlukan.

Ramai menggambarkan `beg penuh berisi hampir sama berat dengan kanak-kanak sendiri’ sehingga memberi tekanan kepada tulang belakang mereka yang masih muda dan sedang berkembang.

Ibu bapa turut menekankan kesakitan fizikal dan risiko kesihatan jangka panjang akibat beg berat serta menggesa KPM melaksanakan perubahan sistemik terhadap apa yang mereka katakan sebagai masalah mendesak dan berlarutan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img