Hishammuddin turut mohon sertai semula UMNO, proses rayuan KJ dijangka cepat

UMNO menerima surat permohonan daripada beberapa lagi ahli dan pemimpin yang sebelum ini dipecat atau digantung termasuk bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk kembali kepada parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu antara pemimpin UMNO yang menyerahkan permohonan tersebut selain bekas Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin.

“Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan di malam-malam terakhir Ramadan.

“Selain Khairy, ramai lagi pemimpin yang pernah menabur jasa menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama memperkuatkan wadah perjuangan Rumah Bangsa ini termasuk Hishamuddin.

“Moga-moga Allah memberkati UMNO sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan negara keseluruhannya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Hishammuddin sebelum ini berkata, beliau tiada masalah untuk kembali menyertai parti itu sekiranya penggantungannya ditarik balik.

Bekas Menteri Pertahanan itu digantung keahlian selama enam tahun pada 2023.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memaklumkan beliau telah menerima surat rayuan daripada Khairy untuk kembali menyertai parti itu semalam.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dipecat daripada parti pada 23 Januari 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, proses permohonan rayuan Khairy untuk menyertai semula parti itu dijangka tidak akan mengambil masa yang lama.

Zambry berkata, rayuan Khairy akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah dilantik sebagai pengerusi teknikal bagi menilai proses itu.

“Saya lihat pertemuan semalam (Ahmad Zahid dan Khairy) itu telah memberi petunjuk yang sangat baik kerana kedua-duanya dapat bertemu dalam suasana yang penuh harmoni.

“Saya yakin ia tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ini merupakan satu proses yang cepat, kerana ia adalah merupakan idea daripada Presiden untuk menubuhkan Rumah Bangsa bagi membawa balik bekas-bekas ahli,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img