POLIS menahan wanita warga Vietnam kurang 24 jam selepas penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dalam kawasan kilang industri di Tangkak, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, suspek wanita itu yang berusia 55 tahun ditahan sebaik sahaja polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.40 pagi.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, mangsa tidak sedarkan dipercayai selepas ditikam menggunakan senjata tajam.
“Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati kecederaan pada leher dan mayat wanita itu dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Pada masa yang sama, suspek turut mencederakan diri sendiri sebaik sahaja menikam mangsa.
“Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian tersebut,” katanya.
Menurut Roslan, siasatan lanjut giat dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Asisten Superintenden Sharidhathul Alfaha Ismail di talian 019-269 9573 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di 06-978 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu media melaporkan, seorang wanita warga Vietnam berusia 51 tahun ditemukan mati dalam keadaan cedera di leher selepas dipercayai ditikam dengan pisau.


