SEORANG lagi anggota geng `Kapten Praba’ telah diekstradisi ke Malaysia selepas ditahan di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, penangkapan itu dibuat dengan bantuan pihak berkuasa Thailand selepas waran tangkap dikeluarkan 14 Januari lalu.
Menurut beliau, suspek disyaki terlibat satu kes jenayah di Subang Jaya pada Januari 2025, yang disiasat kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya serta memiliki senjata maut dalam rusuhan.
Beliau berkata, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pagi ini di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.
Katanya, pertuduhan di bawah Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan akan dibuat dalam masa terdekat.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.
“Kami merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas kerjasama erat dan menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat diutamakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, polis telah menahan hampir 20 ahli kumpulan itu, dan ketika ini lebih 10 lagi ahli masih bebas.
Kumpulan itu yang aktif sejak 2023 diketuai seorang rakyat Malaysia, mempunyai 33 ahli dan dikaitkan dengan jenayah ganas termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, pembakaran serta rompakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.


