Seorang suspek kes bunuh ibu tunggal positif dadah jenis ketamin

SEORANG daripada tiga lelaki yang ditahan berkaitan kes kematian seorang wanita di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua, Butterworth semalam, disahkan positif dadah jenis ketamin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 38 hingga 45 tahun itu berjaya diberkas dalam tempoh kurang tiga jam selepas polis menerima laporan kejadian.

ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang ibu tunggal yang ditemukan dengan kesan kelar pada leher di Flat Sri Murni di Sungai Dua, Butterworth petang semalam. Tiga suspek ditahan setakat ini

Menurut beliau, susulan maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berjaya menahan tiga suspek lelaki masing-masing di kawasan Bukit Mertajam dan Kubang Semang.

“Saringan ujian air kencing mendapati salah seorang suspek disahkan positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian semalam kira-kira jam 1.40 petang, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Flat Sri Murni, Sungai Dua.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang wanita berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai pemandu van sekolah. Mangsa ditemukan terbaring di dalam sebuah bilik tidur,” katanya.

Menurut Azizee, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan kes, Asisten Superintenden Hasryman Osman di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Terdahulu, tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar direman tujuh hari sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh tersebut.

Difahamkan, warga asing itu ditahan pada jam 1 pagi semalam, manakala dua suspek lain ditahan kurang daripada tiga jam selepas kejadian.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img