SATU lagi kes pembunuhan berlaku di daerah Tangkak, kali ini seorang wanita ditemukan maut akibat ditikam di leher di sebuah kilang di Tangkak, pagi ini.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10 pagi membabitkan wanita warga Vietnam berusia 51 tahun yang ditikam rakan senegara yang juga wanita berusia 55 tahun.
Menurut sumber, pada awalnya mangsa dan suspek berbual seperti biasa di tempat kerja di kilang dalam sebuah kawasan perindustrian di Tangkak.
“Suspek tiba-tiba bertindak menikam leher mangsa hingga parah.
“Tikaman itu menyebabkan mangsa jatuh dan disahkan meninggal dunia,” kata sumber itu, lapor Harian Metro.
Menurutnya, selepas menikam leher mangsa, suspek mengelar leher dan tangan menyebabkan dia cedera parah.
“Suspek dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.
Difahamkan, perbuatan suspek juga direkodkan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam kilang terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian ini dalam masa terdekat.
Ini merupakan kes bunuh kedua berlaku di Tangkak dalam tempoh empat hari. Pada Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 38 tahun maut ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang di Bukit Kangkar.
Mangsa, Tong Wei Sheng, 38, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tangkak akibat kecederaan parah dialaminya.


