DUA anggota tentera pulang untuk bercuti raya bertukar tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 70, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Buluh, Setiu hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris mengesahkan kedua-dua mangsa bertugas di Kem 7, Workshop Briged Tebrau Johor.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Aminuddin Amran dan Mohamad Shakiran Saidi, masing-masing berusia 21 dan 36 tahun dan berasal dari Kelantan.
Dalam kejadian itu kereta Honda Civic yang dipandu Muhammad Aminuddin dilaporkan terbakar selepas kemalangan, namun kebakaran berjaya dipadamkan lebih awal oleh orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba.
Dalam kejadian itu kedua-dua terbabit dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, pemandu treler serta dua mangsa dari Proton Saga dilaporkan cedera dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut.


