PROSIDING kes seorang doktor yang didakwa membunuh isteri dan anaknya tahun lalu, ditangguhkan ke 29 April depan berikutan masih terdapat beberapa laporan yang belum siap untuk dikemukakan di mahkamah.
Tertuduh, Chia Tong Hong, 34, yang didakwa membunuh isteri dan anaknya di sebuah rumah dekat Jalan Perjiranan 11/12, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru antara jam 9.50 malam hingga 10.34 malam, 30 Disember 2025, hari ini dibawa dari Pusat Tahanan Ulu Choh, Pontian ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, untuk sebutan kes berkenaan.
Tertuduh yang memakai pakaian tahanan berwarna putih dan berkepala botak dilihat tenang sepanjang prosiding sebutan semula itu berlangsung di tiga Mahkamah Majistret berasingan.
Majistret Nabilah Nizam, A Shaarmini dan Atifah Hazimah Wahab masing-masing menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), kimia, forensik dan toksikologi.
Memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, Atifah Hazimah turut menetapkan 28 September nanti sebagai tarikh sebutan yang mana kes dijangka akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada tarikh itu.
Tertuduh yang sebelum ini diwakili peguam Bernard George, mengemukakan peguam bela baharu dengan melantik peguam Kamal Hisham Jaafar untuk mewakilinya.
Pada 16 Januari lalu, tertuduh yang juga seorang doktor klinik swasta dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Johor Bahru, masing-masing atas pertuduhan membunuh isteri dan anak lelakinya.
Bagi dua pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa dengan niat membunuh isterinya, Phun Lai Ling, 37, dan anak lelakinya, Aaden Chia Yee Heng, 5, sehingga menyebabkan kematian di rumah mereka dan perbuatan itu menyebabkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


