LIMA sekeluarga yang dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan untuk menyambut Aidilfitri berdepan detik cemas apabila kereta Proton Waja dinaiki mereka terbakar di Kampung Pahi, berhadapan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai malam tadi.
Ketika kejadian, keluarga itu dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke Kok Lanas, Kota Bharu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 10.48 malam.
Menurutnya, enam anggota termasuk pegawai dari BBP Kuala Krai dikejarkan ke lokasi kejadian dan setibanya di tempat kejadian mendapati kenderaan tersebut sedang terbakar sepenuhnya.
“Sebelum kejadian, pemandu Proton Waja berkenaan menyedari asap keluar dari bahagian bonet hadapan sebelum segera memberhentikan kenderaan di tepi jalan.
“Mereka kemudian bertindak mengeluarkan semua barang termasuk beg pakaian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam tadi.
Beliau berkata, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.33 malam selepas keadaan disahkan selamat.
“Pihak forensik masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.
Tambah beliau, Skuad Bantu Kuala Krai turut membantu menghantar pulang lima sekeluarga itu ke Kok Lanas.


