SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) telah mengambil langkah awal untuk memperkukuh rangkaian dan operasi komunikasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan orang ramai terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan stabil, khususnya untuk membuat panggilan, menghantar mesej, menggunakan internet, berhubung melalui video serta mendapatkan bantuan kecemasan apabila diperlukan.

MCMC berkata, sejak awal Mac, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan oleh telco di seluruh negara bagi menampung peningkatan penggunaan semasa musim perayaan.
Daripada jumlah itu, adalah seperti pecahan berikut:

“Langkah-langkah ini memberi tumpuan kepada lokasi yang dijangka mengalami peningkatan trafik komunikasi yang tinggi seperti lebuh raya utama, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, destinasi pelancongan serta kawasan tumpuan orang ramai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” kata kenyataan MCMC hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan tahap perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik, semua telco telah diarahkan untuk memantau prestasi rangkaian secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan.

MCMC pula akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat-pejabat negeri, termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi-lokasi kritikal dan tumpuan ramai.
Orang ramai disaran untuk menghubungi telco masing-masing sekiranya mengalami masalah rangkaian. Aduan juga boleh disalurkan melalui saluran portal rasmi MCMC di aduan.mcmc.gov.my supaya tindakan susulan dapat diambil dengan lebih cepat dan berkesan.
“MCMC kekal komited memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan selamat, khususnya pada waktu-waktu penting seperti Hari Raya Aidilfitri ketika pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.


