Polis nafi beri layanan berbeza terhadap Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan memberi layanan berbeza terhadap Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy kerana tindakan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang bagi setiap kesalahan berbeza.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, walaupun tangkapan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, terdapat juga kes yang membabitkan peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948.

“Kesalahan adalah berbeza-beza, ada yang boleh dijamin dan ada yang tidak boleh dijamin. Jadi tindakan diambil adalah berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Mungkin orang awam melihat ia sebagai perkara berbeza, tetapi kita melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Kelmarin, Zamri dan aktivis Arun Dorasamy antara tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen beberapa negeri atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam.

Zamri Vinoth, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur; Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, pula dituduh di Mahkamah Majistret Jawi manakala pemandu e-hailing P Mahendra Bhoopaty, 53, di Mahkamah Majistret Seremban.

Bagaimanapun, Zamri Vinoth dan Arun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu manakala Mahendra Bhoopaty didenda RM4,000 atau dipenjara tujuh bulan, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Program Harmoni MADANI membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan India, Mohd Khalid berkata, PDRM menyokong serta menghargai komitmen dan semangat perpaduan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu sensitif, termasuk berkaitan rumah ibadat.

Katanya, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan polemik awam berkaitan isu rumah ibadat, khususnya dakwaan pembinaan kuil tanpa kelulusan sehingga ada pihak cuba mengambil tindakan bersifat provokatif termasuk menganjurkan himpunan.

“Kita sentiasa memantau dengan teliti perkembangan semasa yang berpotensi menjadi titik panas sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum.

“PDRM komited untuk memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang,” katanya.

Menurutnya, PDRM hanya bertindak sebagai pihak yang memudahkan dan memberi sokongan bagi memastikan program berjalan lancar serta teratur, selain memerlukan kerjasama semua pihak untuk mencapai matlamat itu.

“NGO sendiri memainkan peranan utama dalam memastikan kejayaan perbincangan, manakala PDRM membantu memastikan ia berjalan dengan lancar dan dalam suasana terkawal,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img