SEORANG anggota tentera maut selepas digilis sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 296.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Kampar petang tadi.
Mangsa, Muhammad Adam Ibrahim, 27, yang menunggang motosikal Sym Husky 150 SE disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 2.20 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal itu dipercayai bergesel dengan treler pada bahagian tayar kanan lalu terjatuh di atas jalan sebelum mangsa digilis kenderaan berat itu.
“Mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat manakala pemandu lori berusia 53 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


