Remaja pecah gegendang telinga, patah hidung akibat mercun bola

SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah, termasuk pecah kedua-dua gegendang telinga dan patah hidung ketika bermain mercun di Bandar Springhill, Lukut di Port Dickson pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mangsa turut mengalami kecederaan pada jari, tapak tangan serta luka kecil pada bahagian muka.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini menerima laporan kejadian itu pada jam 6.17 petang tadi, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 12 Mac kira-kira jam 11 malam.

“Mangsa bersama rakan-rakannya dipercayai menggunakan kira-kira 20 biji mercun bola dan mengubah suai bahan itu dengan menaburkan belerang ke dalam lubang tiang sebelum memasukkan satu mercun bola bagi menghasilkan letupan yang lebih kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semasa mangsa cuba menyalakan pemetik api, berlaku letupan kuat sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Alzafny memberitahu, mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dimasukkan ke wad bermula 13 Mac 2026 sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img