SEORANG penghantar makanan direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, bagi membantu siasatan kes pukul dan langgar kepala wanita dipercayai isterinya menggunakan motosikal di Melaka, baru-baru ini.
Perintah reman sehingga 23 Mac terhadap suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd Ghani.
Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Sarjan Siti Norhayati Zainan bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, serta Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Media sebelum ini melaporkan polis giat mengesan suspek selepas ibu mangsa berusia 51 tahun membuat laporan di Balai Polis Tengkera pada Isnin lalu.
Kejadian menimpa anak perempuannya itu dikatakan berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di Kota Shahbandar Ahad lalu yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, susulan laporan polis itu, pasukan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), IPK Melaka berjaya mengesan serta menahan suspek pagi semalam.
Menurutnya, suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin untuk permohonan reman seterusnya membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek.


