Polis tahan lelaki rekrut remaja sertai kumpulan samseng

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang merekrut remaja menyertai kumpulan samseng yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah sekolah baru-baru ini.

Siasatan awal polis terhadap kejadian pergaduhan sekumpulan murid Tahun Enam di Seremban pada 12 Mac lalu mendapati ada unsur gengsterisme.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham namun siasatan polis mendapati ada pihak luar yang tidak bertanggungjawab cuba mempengaruhi pelajar terbabit untuk menyertai kumpulan haram ini.

Menurut beliau, polis kemudian menahan seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang merekrut remaja menyertai kumpulan samseng pada jam 9.10 malam Selasa lalu.

“Suspek adalah warga tempatan berusia 20 tahun ditahan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bersama Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di hadapan restoran di Garden Homes, Seremban,” katanya hari ini.

Menurut Azahar, hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966.

“Setakat ini, siasatan masih di peringkat awal dan pihak polis dalam tindakan mengenal pasti individu yang terbabit untuk direkodkan keterangan,” katanya.

Beliau berkata, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966 bagi tujuan siasatan yang lebih mendalam dan sebagai tindakan pencegahan supaya isu ini tidak menular kepada masyarakat khususnya membabitkan murid sekolah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img