POLIS menahan lima lelaki warga asing yang melarikan diri ke Singapura selepas diburu polis berhubung satu kes bunuh seorang lelaki di kawasan Southkey di Johor Bahru pada 14 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seorang daripada mereka ditahan jam 12.15 tengah malam kelmarin, ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke republik berkenaan.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pada jam 6 petang semalam, empat lagi suspek berjaya ditahan dengan bantuan Polis Singapura selepas mereka dipercayai melarikan diri ke republik itu.
“Suspek pertama kini direman tujuh hari bermula kelmarin hingga Selasa depan, manakala empat lagi suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan semakan rekod juga menunjukkan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ab Rahaman berkata, kejadian yang berlaku jam 5 pagi itu mengorbankan mangsa yang juga warga asing berusia 32 tahun selepas diserang menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru akibat tikaman di bahagian leher,” katanya.
Ab Rahaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada masa sama, Ab Rahaman menasihatkan orang ramai dl supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.


