DATUK Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus menghayati nilai dan semangat Ramadan dalam memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan negara.
Perdana Menteri berkata, ibadah yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan perlu diserap ke dalam kehidupan seharian sebagai asas membina keperibadian dan kekuatan dalaman umat.
Menurutnya, semangat dan nilai yang dipupuk sepanjang Ramadan harus diteruskan bagi memastikan negara terus bergerak maju berlandaskan keharmonian dan kesatuan.
“Semangat dan nilai yang dipugar daripada tarbiah Ramadan harus disegarkan untuk menjana kekuatan dalaman umat yang menjadi prasyarat penting kepada kemajuan negara,” katanya dalam Perutusan Aidilfitri 2026/1447H yang disiarkan secara langsung malam ini.
Anwar berkata, Malaysia yang dibina atas asas kepelbagaian kaum perlu terus memelihara tradisi silaturahim seperti amalan rumah terbuka yang menjadi simbol perpaduan masyarakat.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada terhadap cabaran global termasuk ketegangan geopolitik yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, konflik yang berlaku di Asia Barat berpotensi memberi tempias kepada Malaysia termasuk dari segi kenaikan harga minyak, barangan serta kos sara hidup.
“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa rakyat agar lebih peka terhadap nasib golongan memerlukan serta mengamalkan sikap bersederhana dalam menyambut Aidilfitri.
Beliau berkata, semangat membantu golongan miskin dan memerlukan perlu terus diperkukuh selaras dengan tuntutan agama.
“Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan, serta keprihatinan terhadap mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu mengekalkan momentum ekonomi yang positif hasil perancangan dan usaha berterusan kerajaan.
Katanya, kerajaan MADANI akan terus komited mempertahankan serta memperkukuh kedudukan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran semasa.
“Marilah kita bulatkan tekad untuk merealisasikan agenda Malaysia MADANI dengan mengangkat martabat insan, menegakkan keadilan dan menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia serta memohon maaf zahir dan batin.


