PASUKAN bomba berjuang memadam kebakaran di sebuah kilang penapisan minyak besar di Kuwait hari ini, selepas serangan dron, ketika Iran terus menyerang negara jiran dan menegaskan pengeluaran misilnya tidak menjadi kebimbangan.
Kebakaran berlaku sehari selepas kemudahan gas penting Ras Laffan di Qatar diserang, walaupun semalam pemimpin Eropah menyeru agar serangan dihentikan terhadap infrastruktur tenaga Teluk.
Iran sebelum ini berikrar membalas serangan Israel yang merosakkan medan gas South Pars mereka. Kerosakan itu menaikkan harga minyak dan gas di seluruh dunia.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, perang mungkin berakhir lebih cepat daripada dijangka dan mendakwa Iran kini tidak mampu menghasilkan misil balistik.
“Kita sedang menang dan Iran sedang terjejas teruk. Perang ini akan berakhir lebih cepat daripada yang orang sangka,” katanya tanpa menyebut tempoh masa tertentu.
Jurucakap Pengawal Revolusi Iran, Ali Mohammad Naini pula menegaskan pengeluaran misil mereka tetap diteruskan walaupun dalam keadaan perang.
“Industri misil kami layak mendapat markah sempurna… dan tiada kebimbangan dalam hal ini, kerana walaupun dalam keadaan perang, kami terus mengeluarkan misil,” katanya dipetik oleh agensi berita Fars.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan terbunuh beberapa saat selepas kenyataannya disiarkan.
Iran mengekalkan kawalan strategik ke atas Selat Hormuz, laluan bagi kira-kira satu per lima minyak dunia dan Gas Asli Cecair (LNG).
Harga minyak Brent kini sekitar AS$108 (RM415.17) manakala West Texas Intermediate kira-kira AS$94 (RM360.86).
Serangan itu meragut ribuan nyawa dan menjejaskan jutaan penduduk, termasuk di Lubnan di mana Israel melancarkan serangan balas terhadap roket Hizbullah. Angka korban melebihi 1,000 orang.
Ramai penduduk di rantau itu menamatkan Ramadan dalam suasana pahit dan harga barang meningkat.
Di Iran, rakyat menyambut Nowruz dan Aidilfitri dengan berhati-hati, berharap tiada serangan pada hari pertama sambutan perayaan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, Perancis akan berbincang dengan ahli tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjamin keselamatan pelayaran di Selat Hormuz selepas perang tamat.


