LAPAN individu termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta berhampiran surau Sekolah Menengah Air Panas Gerik hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.02 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 12.10 tengah hari.
“Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga dan Perodua Bezza. Terdapat lapan mangsa terdiri daripada empat lelaki dewasa, dua wanita serta dua kanak-kanak.
“Tiga mangsa berada dalam Proton Saga manakala lima lagi di dalam Perodua Bezza. Kesemua mereka mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, komander operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja penyelamatan menggunakan pengusung bagi mengeluarkan mangsa.
‘’ Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,’’ katanya.


