POLIS memburu tiga individu berpakaian gelap selepas mereka dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Seksyen 9 Shah Alam.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, polis menerima laporan berhubung kes itu pukul 11.52 malam daripada seorang lelaki warga emas berusia 60-an yang juga pesara.
Beliau berkata, kes itu juga tular dalam media sosial yang berlaku sekitar pukul 8 malam hingga 11 malam.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati rumah tersebut tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera keselamatan.
“Pihak polis telah mendapatkan rakaman CCTV daripada pihak pengurusan perumahan serta jiran berhampiran bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya
Ramsay berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Amzar Mohamad Shuffie di talian 013-6666657.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.


