MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan, sehingga kini tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel & LPG dalam negara.
Sebaliknya beliau menegaskan, bekalan semasa adalah mencukupi malah situasi di negara ini adalah lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk negara serantau.
”Perkara yang timbul dan diuar-uarkan adalah isu terpencil berhubung logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.
”Perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar,’’ katanya melalui Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, Armizan menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan semasa adalah terjamin.
Armizan turut memaklumkan hari ini beliau membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Dalam pertemuan ini, katanya, beliau telah memberikan taklimat hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP).
Beliau berkata, jawatankuasa itu telah diaktifkan sebagai langkah memperkukuh agenda penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api khususnya di kawasan sempadan termasuk di negeri Sabah.
”Risiko ketirisan semakin meningkat berikutan konflik Asia Barat dan jurang harga yang tinggi antara harga bahan api bersubsidi di dalam negara dengan harga pasaran dan harga runcit di negara-negara jiran,’’ katanya.
Armizan berkata, beliau turut menjelaskan berhubung beberapa khabar angin berkaitan dakwaan berlakunya ketidakcukupan bekalan bahan api di beberapa stesen minyak di Sabah baru-baru ini yang juga dikaitkan dengan senario di negara-negara jiran yang mengalami isu gangguan bekalan.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penjualan dan pengisian bahan api selain daripada tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 khususnya peruntukan-peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
”KPDN tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada platform aduan KPDN sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.
”Pengusaha stesen minyak juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa,’’ katanya.


