MALAYSIA tidak berada dalam kategori negara yang berisiko mengalami ‘bankrap air’ seperti kebimbangan global kerana negara masih mempunyai sumber air mentah yang mencukupi, kata Datuk Ser Fadillah Yusof.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri berkata, cabaran sebenar yang perlu ditangani adalah dari sudut pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai serta kecekapan sistem penyampaian air negara.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, Malaysia menerima purata lebih 2,500 milimeter hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu setahun, sekali gus menunjukkan negara tidak berdepan kekurangan sumber air secara fizikal.
“Cabaran utama negara bukanlah kekurangan air, tetapi bagaimana kita mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air secara strategik bagi menjamin sekuriti serta adaptasi dan kelestarian bekalan air jangka panjang,” katanya lapor BuletinTV3.
Beliau mengulas saranan pakar kualiti air dan permodelan kualiti air yang menyarankan supaya kerajaan melalui PETRA merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko situasi ‘kebankrapan air global’.
Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) turut memberi amaran bahawa dunia sedang memasuki era ‘kebankrapan air global’.
Fadillah berkata, antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan storan air secara pelbagai, pencerobohan kawasan tadahan, pencemaran sungai serta kekurangan integrasi antara pelbagai sumber air alternatif seperti air bawah tanah, takungan air secara dalam jajaran dan pinggiran sungai, air kitar semula, sistem penuaian air hujan dan desalinasi.
“Secara umumnya, simpanan aktif empangan mampu menampung bekalan air sehingga 90 hari atau tiga bulan.
“Pada masa yang sama, kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional masih berada pada tahap sekitar 34.3 peratus, bersamaan kira-kira 6,000 juta liter sehari air terawat yang hilang,” katanya.
Kehilangan air terawat itu katanya, dianggarkan mencecah hampir RM2 bilion setahun dari segi potensi hasil.
“Jika kadar NRW dapat dikurangkan kepada 25 peratus sahaja, negara boleh menjimatkan kira-kira 2,000 juta liter sehari air tambahan tanpa perlu membina loji rawatan air baharu.
“Permintaan air negara pula dijangka terus meningkat daripada kira-kira 19,372 juta liter sehari pada 2025 kepada lebih 25,000 juta liter sehari menjelang 2030 berdasarkan kapasiti reka bentuk loji rawatan air, sekali gus memerlukan perancangan sumber baharu secara lebih strategik,” katanya.
Malaysia mempunyai 2,986 lembangan sungai yang mana sekitar 30 peratus lembangan sungai utama negara dikenal pasti berdepan tekanan pencemaran sederhana hingga serius akibat pelepasan industri dan aktiviti guna tanah tidak terkawal, yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan air.
Menurut beliau, ketika ini kadar tarif air sedia ada bagi sesetengah operator air hanya mencukupi untuk menampung kos semasa.
Sehubungan itu, kata Fadillah ada keperluan untuk mempercepat pelaksanaan pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) di semua lembangan sungai utama negara.
‘’Selain itu perlu memperkukuh strategi storan air melalui pembinaan takungan air dalam jajaran dan pinggiran sungai, peningkatan kapasiti dan fungsi empangan, pemetaan pintar sumber air bawah tanah secara sistematik dan pemerkasaan elemen penyelidikan dalam menerokai teknologi yang ampuh dan berdaya saing dalam pengurusan sumber air,’’ katanya.


