Lagi kes pemandu bas buat hal, didakwa pandu berbahaya, tunjuk isyarat lucah

SEORANG pemandu bas persiaran didakwa memandu dengan aksi berbahaya dan menunjukkan isyarat lucah terhadap orang awam di daerah Melaka Tengah, semalam.

Kejadian jam 11.38 pagi itu tular dalam Facebook yang memaparkan pemandu bas berkenaan menunjukkan aksi terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun berhubung kelakuan individu lelaki terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengadu yang memandu kereta jenis Proton Persona dari arah Plaza Mahkota menghala ke Kota Laksamana mendakwa kenderaannya dihimpit sebuah bas persiaran di kawasan selekoh berhampiran Mahkota Medical Centre sehingga hampir melanggar kon jalan.

Bagaimanapun katanya, selepas membuat pusingan U dan meneruskan perjalanan, bas berkenaan sekali lagi didakwa memotong serta menghimpit kenderaan pengadu di jejambat Syed Abdul Aziz sehingga hampir melanggar tembok.

“Pengadu kemudian mengekori bas terbabit sebelum ia berhenti di bahu jalan di kawasan Kota Laksamana dan anak pengadu turun bagi mendapatkan maklumat.

“Namun, pemandu bas yang juga lelaki tempatan bertindak agresif dengan cuba memukul serta mengajak bergaduh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis memandang serius kejadian berkenaan kerana melibatkan pemanduan berbahaya serta perlakuan agresif yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambah beliau.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img