Isu ternah babi : Jangan sampai dianggap derhaka kepada Sultan

Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani

BARU-baru ini, ADUN Seri Kembangan, Siew Ki  berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dilihat bagaikan  mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah – Ketua Utama Negeri Selangor Darul Ehsan dengan memohon agar dibenarkan “jugak-jugak” (seperti kata orang utara) penternakan babi di negeri ini.

Dia juga seolah-olah lupa tentang agama Islam sebagai agama Persekutuan yang tidak boleh disamatarafkan dengan agama lain walaupun dibenar diamalkan secara bebas.  Ada perbezaannya.

Malah Siew Ki cuba menyamakan ternakan lain seperti lembu, kambing dan ayam sama ada menggambarkan kejahilannya tentang isu ini atau sikap kepura-puraan kerana ingin terus dengan sikap mendesak Sultan.

Janganlah sampai dilihat bersikap biadab. Jangan sesekali dilawan titah Sultan negeri ini dan mana-mana negeri pun.  Ingat, dari segi agama Islam, keseluruhan babi tergolong dalam najis berat.  Lembu, kambing dan kerbau bukan bandingannya.

 Segala yang buruk dari segi kesihatan khususnya akan diharamkan terus seperti minuman beralkohol  Nampaknya masih banyak yang tidak peka atau tidak ambil peduli akan isu babi dan pantang larangnya yang keras kepada umat Islam di Malaysia.

  Tidak dinafikan ada juga segelintir bukan muslim termasuk rakan penulis keturunan Tionghua  yang tahu mudaratnya  justeru mereka pun tidak makan babi.

Wahai Siew Ki, janganlah disamatarafkan haiwan lembu, kambing, kerbau dan ayam dengan babi.  Jenis pemakanan dan makanannya sudah berbeza. Perangai atau tabiat haiwan tersebut juga amat tidak serupa dengan babi.  Malah di sebuah negara lain najis lembu ada yang dikeringkan dijadikan lantai, dinding rumah malah sebagai gas untuk memasak.

Pencemaran najis babi dan baunya juga lebih “menyeksakan”  berbanding najis lembu dan lain-lain.  Tidak percaya?  Cubalah  Siew Ki sendiri minta penternak lembu atau kambing menternak betul-betul di tepi rumah dan minta penternak babi pelihara babi di tepi sebelah lagi.   Atau cuba pindah dan duduk di sebelah kandang babi selama sebulan untuk “menikmati” apa yang dirasai selama ini oleh kejiranan bersebelahan kandang babi.

 Malah Sultan sendiri pernah menyatakan dukacitanya akibat kediaman yang berjiran seperti itu.

Pasti akan terserlah perbezaan yang amat besar.  Itulah realitinya jika benar-benar mahu merasakan akan kebenaran dan hakikat perbezaan menternak haiwan tersebut  Parasit  kuman dan virus dibawa babi juga lebih banyak dan berbahaya berbanding lembu dan kambing.

Ada banyak buku berasaskan saintifik, mengapa orang Islam (bukan orang Melayu sahaja) diharamkan memakan babi atau mana-mana bahagian badannya atau menggunapakai sebarang peralatan yang diperbuat daripada tubuh babi atau bekasnya.  Misalnya buku “Kenapa Babi Tidak Halal” terbitan PTS Publications (2016) setebal 263 halaman yang menghuraikan dari segi saintifik kesan negatif terhadap kesihatan (otak dan saraf) selain huraian agama berkenaan pengharaman babi dalam Islam.

Juga buku “Mengapa Babi Haram: Jawaban Ilmiah Yang Mengakhiri Perdebatan Ribuan Tahun” oleh Zulhandri Khalid (2025) yang membincang secara komprehensif dari sudut sains, sejarah, ekologi dan perubatan mengenai larangan  memakan babi.  Ada lagi beberapa buah buku lain seperti “Going Ham: The Truth about Pork dan Perils of Eating Poison -Animal oleh Kevin A.Muhammad,  “Pork: or the Dangers of  Pork-Eating exposed”, Pork Eating and The Great Risk to Human Health oleh Nkosi Tay Abalade,  “Avoid Eating Pork”  oleh Whitley Smith, juga perbincangan tentang “parasites and pathogens”.

 Semua buku tersebut bukanlah cerita dongeng atau cerita rekaan  tetapi membincangkan tentang bahayanya parasit seperti cacing trichina, cacing pita (taenia solium) dan risiko hepatitis  E. Ada virus atau cacing tersebut yang tidak mati walaupun dalam air didih.

Negara kita pun pernah pada satu ketika digemparkan dengan virus nipah yang sangat bahaya di Perak dan Bukit Pelanduk yang telah meragut banyak nyawa tanpa dapat dirawat.  Pada tahun 2017 juga ada sebuah artikel dalam “Healthline” yang membicara tentang “Is Pork Bad for You: 4 Hidden Dangers”. Silalah rujuk dan hadam semua buku, tulisan berkenaan dan juga kes virus nipah tersebut,

Wahai Siew Ki,

Janganlah hanya melihat kepentingan sebelah pihak yang  kesannya boleh  merisikokan majoriti banyak orang dengan segala macam penderitaan dan pencemaran alam sekitar serta parasit yang boleh membunuh.  Tujuh puluh tahun tidak lagi selesai isu pencemaran sungai dan pencemaran  lain akibat penternakan babi.  Berapa puluh tahun lagi diperlukan?

 Eloklah penternak diberi pilihan menternak ruminan lain yang diambil oleh majoriti rakyat negara ini.  Demi keterjaminan bekalan makanan dan daging haiwan di negara ini eloklah tumpuan diberi kepada haiwan pedaging yang lebih banyak diperlukan oleh majoriti rakyat negara ini agar pengimportannya dapat dikurangkan bagi menjimatkan wang negara.  Keperluan daging babi yang lebih kurang itu cukuplah diatasi melalui pengimportan seperti negara Singapura yang juga tidak membenarkan ternakan babi di sana.

Jika selepas ini ada lagi rakyat atau wakil rakyat, tanpa mengira parti atau bangsa  yang mempertikaikan  titah mana-mana Sultan atau Yang di-Pertuan Agong yang prihatin dengan kebajikan  rakyat, dicadangkan mereka yang berkenaan dibuang negeri sahaja.  Tidak cukup sekadar memberi amaran keras seperti selama ini.

Diharapkan ini menjadi  pengajaran agar kita tidak berulang kali mendengar permohonan maaf mereka kerana kata “maaf” kerap menjadi permainan mulut sahaja bagi mereka untuk menutup kemarahan orang lain dan menutup keangkuhan yang bersarang dalam diri.  Mereka seolah-olah tidak pernah insaf atau menyesal.  Ampun Tuanku!

  • Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img