Malaysia tegaskan sokongan kedaulatan Qatar, lahir kebimbangan situasi Selatan Lubnan

MALAYSIA  menegaskan sokongan terhadap kedaulatan Qatar serta mengecam serangan ke atas kemudahan LNG Ras Laffan yang kritikal kepada ekonomi global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia itu ditegaskan oleh beliau ketika  mengadakan perbualan telefon bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.

‘’Kami   sependapat bahawa semua pihak perlu meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog serta diplomasi demi kestabilan serantau. Moga keamanan di Asia Barat dapat segera dipulihkan, Insya-Allah,’’ katanya.

Beliau  turut merakamkan takziah atas tragedi nahas helikopter yang meragut nyawa anggota Angkatan Tentera Qatar serta warga Turkiye, dan menzahirkan solidariti kepada keluarga mangsa.

‘’Malaysia juga menghargai bantuan Qatar kepada rakyat Malaysia yang terjejas,’’ katanya.

Sementara itu Perdana Menteri turut mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, sambil menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H serta menyuarakan kebimbangan terhadap situasi keselamatan yang semakin meruncing di selatan Lubnan dan ketegangan serantau yang kian meningkat.

‘’Kesempatan ini, saya turut menghargai sokongan berterusan Kerajaan Lubnan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anggota MALBATT kita di bawah UNIFIL agar terus dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dalam suasana mencabar,’’ katanya.

Anwar berkata, dalam  perbualan itu, beliau memaklumkan bahawa Malaysia menggesa peluasan gencatan senjata merangkumi Lubnan, memandangkan negara itu terjejas teruk dengan kira-kira satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal serta lebih 1,000 mangsa terkorban.

‘’Saya menegaskan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan Lubnan, mengutuk serangan ke atas infrastruktur awam, serta menyeru semua pihak untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog, di samping menyentuh situasi kemanusiaan yang semakin mendesak,’’ katanya.

Anwar turut  menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Lubnan dan rakan antarabangsa dalam memulihkan keamanan dan kestabilan serantau.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img