AMK persoal  bagaimana Rafizi tahu Victor Chin ambil wang daripada ah long

KENYATAAN  Rafizi Ramli yang mendakwa Victor  Chin mengambil  wang RM9.5 juta daripada ah long  untuk diberikan kepada seorang ahli  Parlimen menimbulkan persoalan.

Timbalan Bendahari AMK Pusat, Tan Keng Siang berkata, persoalan besar yang tidak boleh dielakkan ialah bagaimana Rafizi boleh memiliki maklumat yang begitu spesifik tanpa sebarang pendedahan rasmi? 

‘’Kenyataan seumpama ini bukan sahaja mencetuskan keraguan, malah menimbulkan persepsi bahawa terdapat motif tertentu di sebalik pendedahan tersebut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika mengulas mengenai peras ugut RM9.5 juta itu, Rafizi melalui Facebook beliau  menulis:

‘’Jadi kes ini akan hanya ada 2 pengakhiran – sama ada 30 Mac ini Ahli Parlimen itu dinamakan secara terbuka, atau ia mati begitu sahaja.

‘’Kalau mati begitu sahaja, kita tahu bahawa ahli parlimen itu telah memulangkan RM9.5 juta itu dengan membayar hutang Victor Chin kepada ah long, sebab Victor Chin ambil wang itu daripada ah long untuk dibayar.’’

Semalam, Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Presiden PKR Datuk Seri R.Ramanan menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah individu bergelar ‘Mr R’ yang didakwa menerima wang sebanyak RM9.5 juta daripada Victor Chin – Ahli Perniagaan yang dikaitkan dengan isu mafia korporat.

Sehubungan itu, Keng Siang berkata, tindakan Rafizi  mengeluarkan dakwaan sedemikian secara terbuka tanpa melalui saluran yang sewajarnya boleh dilihat sebagai cubaan membentuk persepsi awam secara tidak bertanggungjawab.

‘’ Isu melibatkan dana dan unsur salah laku kewangan bukan bahan untuk dimainkan dalam naratif politik atau dijadikan modal persepsi,’’ tegasnya.

Beliau berkata, jika  benar beliau mempunyai maklumat atau bukti kukuh, perkara tersebut sepatutnya disalurkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat secara telus, bukannya dilemparkan kepada umum tanpa asas yang jelas. 

‘’Tindakan sebegini hanya mengundang kekeliruan dan menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi serta kepimpinan sedia ada. Sehubungan itu, satu penjelasan terbuka daripada Rafizi amat diperlukan, khususnya berkaitan sumber maklumat yang beliau dakwa miliki. Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan tidak seharusnya dibiarkan terperangkap dalam permainan persepsi,’’ katanya.

Keng Siang berkata, semua pihak harus lebih bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang dibuat kerana sebarang cubaan untuk memanipulasi isu sensitif demi kepentingan tertentu perlu dihentikan demi menjaga kestabilan serta kepercayaan rakyat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img