KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan tiada isu kelewatan pembayaran bantuan tunggu tuai RM600 kepada pesawah kerana ia inisiatif khas “one-off” bagi musim tanaman padi 2023 dan 2024.
Dalam satu kenyataan, Kementerian itu menjelaskan, peruntukan bagi bantuan itu tidak diteruskan dalam Belanjawan 2025 dan 2026, serta menafikan dakwaan berlaku tunggakan bayaran kepada pesawah sejak dua musim berturut-turut.
“Tidak timbul isu kelewatan pembayaran sepertimana yang digembar-gemburkan pihak pembangkang,” kata kenyataan itu.
Menurut KPKM, sebarang kenyataan berkaitan dasar kerajaan perlu dibuat berasaskan fakta tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan mempersoal insentif tunai itu kepada pesawah yang tidak menerima selama dua musim berturut-turut.
Hamzah turut menggesa kerajaan merangka segera pelan kontingensi nasional menyeluruh bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia.
Kata Ahli Parlimen Larut itu, kegagalan menangani isu itu akan mengheret Malaysia daripada krisis harga minyak kepada krisis keselamatan bekalan makanan lebih serius.
KPKM seterusnya berkata, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan di peringkat kementerian bagi meneliti kesan keseluruhan kenaikan harga minyak dunia terhadap sektor pertanian, merangkumi impak ke atas kos operasi, termasuk kenaikan harga diesel, sebelum syor dikemukakan kepada Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa.
“KPKM pada bila-bila masa boleh melaksanakan intervensi sewajarnya berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian penghasilan dan pembekalan padi serta beras negara,’’ kata kenyataan tersebut.
Kementerin itu turut memberi jaminan bantuan subsidi input pertanian seperti benih, baja serta racun tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa, walaupun berlaku kenaikan kos di peringkat global.


