DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong bersama warga setempat.
Melalui Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, khutbah bertajuk “Prinsip Kecukupan Dalam Islam” mengingatkan umat Islam akan pentingnya menghayati nilai qanaah, yakni rasa cukup dengan segala yang dikurniakan oleh Allah SWT.

‘’Dalam suasana dunia yang masih berdepan pelbagai ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, adalah amat penting untuk nilai qanaah ini terus diperkukuh dalam jiwa umat Islam semua,’’ katanya.
Beliau berkata, walaupun kesan terhadap negara masih terkawal namun rakyat tidak boleh alpa dan mesti sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
‘’Sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, sambil terus memperkukuh perpaduan dan daya tahan sebagai sebuah bangsa yang berdaulat,’’ katanya yang turut berkesempatan beramah mesra dengan para jemaah, dalam semangat silaturahim yang terus mekar di bulan Syawal.


