IRAN mendakwa angkatan tenteranya telah menyerang enam kapal taktikal Amerika, menyebabkan sejumlah besar anggota tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan bahawa serangan tersebut merupakan sebahagian daripada gelombang ke-84 “Operasi True Promise 4”.
Menurut IRGC, serangan peluru berpandu balistik dan peluru berpandu kruis jenis Qadr 380 telah menyasarkan aset tentera Amerika di Pelabuhan Al-Shuwaikh serta kawasan pantai dan pelabuhan di Dubai.
Kenyataan itu menyebut enam kapal pendaratan tentera Amerika jenis LCU telah terkena serangan, dengan tiga daripadanya dilaporkan tenggelam manakala selebihnya terbakar.
Selain itu, operasi dron turut dilancarkan ke atas lokasi yang didakwa sebagai pusat pengumpulan unit dron Amerika di kawasan pantai dan sebuah hotel di Dubai.
IRGC mendakwa serangan tersebut turut mengorbankan sejumlah besar anggota tentera Amerika.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, mengeluarkan amaran tegas susulan serangan Israel terhadap beberapa kemudahan penting di Iran, termasuk kilang keluli dan tapak nuklear.
Dalam kenyataan di platform X, beliau mengecam tindakan ketenteraan Israel yang didakwa dilakukan dengan sokongan Amerika Syarikat.
Menurut Araqchi, serangan itu menyasarkan dua kilang keluli terbesar Iran, sebuah loji janakuasa serta tapak nuklear awam.
Beliau turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai bercanggah dengan tempoh rundingan diplomatik yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
“Iran akan mengenakan harga yang sangat mahal atas jenayah Israel,” tegas beliau.


