Semak semula kadar BUDI diesel B40,M40 – Pemuda Pas Selangor

DEWAN Pemuda Pas Selangor hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak semula kadar BUDI Diesel untuk B40 dan M40.

Naib Ketuanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, dengan lonjakan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia yang kini mencecah RM5.52 seliter, ia telah mencetuskan kebimbangan melampau serta tekanan kewangan amat berat kepada golongan B40 dan M40 yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk kelangsungan hidup dan perniagaan kecil.

Beliau berkata, data Kementerian Kewangan (MOF) pada Jun 2024 menunjukkan, dianggarkan terdapat seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia yang tergolong dalam kalangan B40 dan M40.

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

‘’Sebagai contoh, bagi penggunaan 200 liter, pengguna diesel B40/M40 terpaksa menanggung kos bersih sebanyak RM804 (selepas bantuan BUDI RM300).

‘’Manakala, golongan T20 yang menggunakan petrol RON95 hanya membayar RM398 untuk jumlah liter yang sama. Perbezaan kos sehingga RM406. Ini bermakna golongan berpendapatan rendah (B40 dan M40) membayar dua kali ganda lebih mahal berbanding golongan kaya (T20),’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, bantuan RM300 sebulan bagi pemilik diesel kini dilihat tidak lagi relevan dengan harga pasaran RM5.52 seliter.

‘’ Mungkin boleh dipertimbangkan kenaikan sehingga sekurang-kurangnya RM500 sebulan bagi mengimbangi kenaikan harga diesel yang kini mencecah RM5.52 seliter.

‘’Ini adalah saat yang genting dan kritikal buat rakyat dan negara! Oleh itu, kami menggesa PMX untuk mengambil tindakan segera dan perbetulkan dasar yang bertentangan dengan apa yang beliau ucapkan,’’ katanya.

Muhammad Faizzuddin berkata, Perdana Menteri tidak boleh membiarkan B40 dan M40 pengguna diesel di negara ini hidup sengsara ketika saat T20 yang menggunakan petrol dibantu dengan subsidi yang sangat besar jumlahnya berbanding mereka.

‘’Kerajaan Madani harus konsisten dengan prinsip keadilan sosial. Janganlah niat murni untuk mengurangkan ketirisan subsidi akhirnya menjadi bebanan yang menghukum golongan miskin yang sepatutnya dibantu,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img