POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penipuan penjualan mata wang kripto membabitkan kerugian RM198,000 di daerah Klang Utara, Selangor baru-baru ini.
Lelaki tempatan berusia 25 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada jam 1.30 petang, 22 Mac lalu.
Sumber berkata, pengadu iaitu seorang lelaki yang juga ahli perniagaan berbincang dengan suspek berkaitan pembelian mata wang kripto dan bersetuju dengan tawaran untuk membuat pertukaran bernilai RM198,000.
Bagaimanapun katanya, selepas menyerahkan wang suspek gagal dihubungi dan menyebabkan pengadu mengalami kerugian.
“Susulan itu, seorang lelaki ditahan dan sebuah telefon bimbit turut dirampas. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut sumber, suspek direman selama empat hari dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan penahanan lelaki terbabit.


