MESKIPUN sudah lebih 50 tahun berlalu, seorang pesara polis masih tidak dapat melupakan pengalaman mendebarkan apabila terselamat selepas ditembak tiga kali termasuk di kepala oleh pengganas komunis dalam satu kejadian di Kedah.
Mohd Yusof Shaharum, 77, masih mampu mengingati peristiwa yang hampir meragut nyawanya dalam satu operasi di kawasan hutan Mong Gajah, Kedah pada 16 Mei 1972.
Bapa kepada enam orang anak yang memulakan perkhidmatan pada tahun 1969 bersama Batalion Ke-11 Pasukan Polis Hutan (PPH), ketika itu berpangkat Lans Koperal.
Menceritakan detik hitam tersebut, Mohd Yusof berkata, unitnya dikerahkan di bawah Ops Gubir untuk mengesan dan membanteras kumpulan pengganas komunis yang dipercayai beroperasi di dalam hutan tebal.
“Kami berada dalam satu platun di bawah pegawai pemerintah kompeni. Semasa bergerak masuk, tiba-tiba kami terdengar bunyi tembakan.
“Konvoi kami diserang hendap dan kami semua dalam keadaan berjaga-jaga. Tiba-tiba lori hilang kawalan ketika cuba mengelak gaung. Ia terbabas dan melanggar cerun,” katanya, lapor Harian Metro.
Mohd Yusof ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat oleh Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin sempena sambutan Hari Polis ke-219 di kediamannya di Kampung Kubang Kawah dekat Perupok.
Menurutnya, kejadian itu meragut nyawa tiga anggota yang berada dalam kenderaan.
Katanya lagi, dalam kekecohan itu, mereka turut dilemparkan bom tangan oleh pihak musuh manakala dia tercampak keluar dari lori akibat kemalangan itu.
“Saya cuba mencapai senjata, tetapi terasa sakit terbakar di paha,” katanya mengimbas detik terkena tembakan.
Katanya, ketika terbaring kesakitan, tiga anggota komunis turun dari kawasan bukit lalu mengangkat serta mencampaknya ke atas timbunan mayat.
Apa yang paling melekat dalam ingatannya adalah suara yang memberi arahan di pihak musuh.
“Yang memberi arahan itu seorang wanita. Dia bercakap dalam bahasa Cina. Saya masih ingat dengan jelas,” katanya.
Dalam kejadian itu, Mohd Yusof mengalami pelbagai kecederaan termasuk luka di bahagian kiri kepala, paha kiri dan siku kanan.
Dia kemudian dihantar ke hospital di Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Mengimbas kembali sebelum serangan, Mohd Yusof berkata, dia menggunakan senjata jenis SLR, manakala pihak musuh dipercayai bersenjatakan raifal M13 Armalite.
“Kami diarahkan bersiap sedia lebih awal, kemudian diarahkan keluar untuk mengambil bekalan. Selepas itu kami diarahkan semula untuk rondaan,” katanya.
Dia berkata, kenderaan berperisai sepatutnya mengiringi konvoi pada hari itu namun tidak hadir.
“Namun begitu, OC (pegawai pemerintah) tetap membuat keputusan untuk meneruskan pergerakan,” katanya.
Dalam satu takdir yang tidak disangka, Mohd Yusof turut menukar kedudukan biasanya dalam konvoi pada hari kejadian.
“Saya biasanya duduk di lori terakhir, tetapi hari itu saya berpindah ke kenderaan ketiga,” katanya.
Keputusan itu ternyata menyelamatkan nyawanya kerana tiga anggota yang terkorban berada di lori terakhir.
Mohd Yusof terus berkhidmat sehingga bersara pada 1 November 1994. Kesemua enam anaknya tidak mengikut jejak langkahnya dalam pasukan keselamatan.
Walaupun sudah puluhan tahun berlalu, parut sama ada fizikal mahupun emosi masih kekal, bersama kenangan hari yang mengubah hidupnya serta rakan-rakan seperjuangan.


