Dua ahli MPPWP ditahan disyaki minta ‘wang perlindungan’

DUA individu dipercayai ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan meminta ‘wang perlindungan’ daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju baru-baru ini.

Penahanan itu dibuat selepas tular satu video dalam media sosial yang memaparkan tindakan individu berkenaan didakwa meminta bayaran daripada premis terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor sebuah portal hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, PKR semalam telah mengarahkan kedua-dua individu itu meletakkan jawatan serta-merta daripada kedudukan mereka dalam MPPWP.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Azman Abidin berkata, peletakan jawatan itu bertujuan memudahkan siasatan oleh polis dan parti.

Terdahulu, satu akaun Facebook memuat naik video memaparkan dua ahli MPPWP didakwa meminta bayaran daripada sebuah premis urut.

Pada 27 Mac lalu, media melaporkan dua wakil penduduk menafikan dakwaan mereka cuba memeras ugut `wang perlindungan’ daripada sebuah perniagaan, sambil menegaskan lawatan rasmi mereka ke sebuah pusat urut hanyalah untuk mendapatkan maklumat susulan aduan orang ramai.

Kedua-dua individu berkenaan yang merupakan ahli MPPWP mendakwa, mereka melakukan lawatan `pemantauan rutin’ ke pusat urut di Wisma Setapak pada 24 Mac selepas menerima aduan daripada komuniti setempat yang bimbang premis itu mungkin menjalankan operasi secara tidak sah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img