CUBAAN licik sindiket dadah menyeludup 510 kilogram (kg) jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta dengan menyamar seolah-olah bersiar bersama isteri gagal apabila polis menahan lima suspek dalam operasi di Wang Kelian dan Kaki Bukit, Kangar.
Operasi penahanan suspek bagaimanapun mencemaskan apabila polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan sindiket yang cuba melarikan diri, sebelum kedua-duanya akhirnya terbabas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan melumpuhkan rangkaian besar sindiket itu adalah hasil siri serbuan di Wang Kelian dan Kaki Bukit, Kangar, 24 hingga 28 Mac lalu.
Katanya, dalam serbuan pertama di Jalan Utama Wang Kelian, polis memintas dua kereta dan menahan dua lelaki serta seorang wanita tempatan.
“Pemeriksaan ke atas salah sebuah kereta tersebut membawa kepada penemuan 20 guni yang mengandungi 500 peket bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Bagi mengelakkan dikesan, suspek menggunakan modus operandi membawa ahli keluarga termasuk isteri di dalam kenderaan seolah-olah sedang bersiar-siar, namun hakikatnya merekamembawa muatan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis, hari ini, lapor Berita Harian.
Hussein berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak Ogos 2025 itu dianggar sebagai mahir dalam kegiatan penyeludupan di sekitar sempadan Wang Kelian.
Katanya, kumpulan ini mengupah individu sebagai ‘tentera semut’ yang berjalan kaki memikul bekalan dadah merentasi hutan sempadan negara melalui laluan haram, selain turut dikesan mempunyai kapasiti menyeludup melalui laluan perairan.
Beliau berkata, susulan tangkapan pertama, polis menjalankan serbuan pada 27 dan 28 Mac lalu dan berjaya menahan dua lagi lelaki yang bertindak sebagai tonto atau peninjau keselamatan.
“Ketua kumpulan sindiket ini yang merupakan seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 50-an bagaimanapun dipercayai sempat meloloskan diri ke Thailand dengan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
“Kesemua lima suspek yang ditahan berusia antara 23 hingga 37 tahun. Ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek lelaki positif methamphetamine, namun suspek wanita negatif,” katanya.
Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dengan salah seorang daripadanya mempunyai 11 rekod kesalahan.
Polis turut menyita pelbagai aset termasuk enam kenderaan pacuan empat roda dan kereta, serta enam motosikal bernilai keseluruhan RM566,200.
“Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.


