ALLAHYARHAM Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal mangsa rempuhan pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol di Jalan Raya Barat, Klang melakukan dua kerja bagi menyara kehidupan keluarganya sebelum terlibat dalam nahas ngeri yang meragut nyawanya semalam.
Rakannya, Illyasa Saipuzzaman berkata, allahyarham dianggap sangat gigih bekerja di mana pada waktu siang dia akan bekerja di gudang manakala pada sebelah malam dia akan bekerja sebagai penghantar sambilan.

“Saya dan arwah bekerja bersama-sama selama 11 tahun, dia seorang yang sangat membantu, kalau ada kerja berat atau orang perlukan bantuan, dia antara yang paling awal tampil.
“Semangat kerja berpasukan dia memang tinggi, dia juga pantas bekerja dan sangat komited,” katanya, lapor BH sambil memberitahu allahyarham rakannya itu seorang yang ringan tulang, peramah dan sentiasa mengukir senyuman.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, allahyarham Amirul Hafiz maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat.
Siasatan awal polis mendapati, kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
Menurut polis, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.
Illyasa dalam pada itu berkata, kali terakhir dia bertemu arwah hanyalah sehari sebelum kejadian.
Menurutnya, mereka sempat meluangkan masa bersama di sebuah taman permainan berhampiran rumah, sekadar berbual santai seperti kebiasaan.
“Saya baru saja bertemu arwah Sabtu lalu, tetapi sehari kemudian (Ahad) dia pergi buat selamanya… Dia tak tunjuk apa-apa perubahan, semuanya seperti biasa,” katanya.
Katanya, arwah juga tidak pernah mengeluh meskipun memikul tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.
“Dia ada tiga orang anak, yang sulung sembilan tahun, kedua tujuh tahun dan bongsu baru dua tahun.
“Dia juga ada buat kerja sambilan sebagai penghantar barang waktu malam, lepas habis kerja di gudang,” katanya.
Pemandu terbabit kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.


