Akibat pemandu mabuk…nyawa dirampas oleh ibu segala kejahatan – Jakim

TRAGEDI menimpa seorang penunggang motosikal, Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol sehingga menemui ajal di Jalan Raya Barat, Klang semalam mendapat simpati pelbagai pihak.

Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut membuat hantaran dalam media sosial berkongsi kesedihan atas kehilangan nyawa insan yang tidak bersalah itu hanya disebabkan kelalaian pihak lain.

Berikut adalah teks penuh hantaran Bahagian Dakwah Jakim dalam media sosial hari ini:

Innalillahiwainnailaihirojiun.

Sebuah berita yang merobek tangkai hati dikala Syawal masih dirai.

Bayangkan, seorang insan keluar mencari rezeki atau dalam perjalanan pulang ke pangkuan keluarga, namun langkahnya terhenti selamanya hanya kerana nafsu serakah seorang manusia lain yang tidak bertanggungjawab.

​Kejadian di Klang ini bukan sekadar kemalangan jalan raya; ia adalah sebuah tragedi kemanusiaan.

Bayangkan perasaan ibu bapa, isteri, atau anak-anak mangsa yang menunggu di rumah.

Makanan mungkin sudah terhidang, namun yang pulang hanyalah sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa, terkulai dirempuh oleh pemandu yang hilang kewarasan akibat debu dadah dan titisan arak.

​Islam amat menitikberatkan penjagaan lima perkara asas (Maqasid Syariah), dan salah satunya adalah Penjagaan Nyawa serta Penjagaan Akal.

Apabila seseorang memilih untuk mengambil alkohol dan dadah, dia sebenarnya telah membuang “kemuliaan insan” (akal) dan bertukar menjadi pemangsa yang berbahaya. Apa lagi bila stereng kenderaan di tangannya!

​Rasulullah SAW bersabda:

​”Arak itu adalah ibu segala kejahatan.”

(HR al-Nasa’i)

​Hari ini, “ibu” itu telah melahirkan sebuah kematian.

Seorang pemuda berusia 20-an, yang sepatutnya menjadi aset bangsa, kini menjadi punca musnahnya sebuah keluarga lain.

Kita tidak boleh lagi sekadar bersimpati; kita perlukan perubahan drastik dan diperketatkan!

Dari pendidikan, tanggungjawab, teknologi pengesan, kebebasan jualan dan penggunaan, undang-undang, penguatkuasaan sehingga hukuman.

Kematian ini adalah satu peringatan buat kita semua. Jangan biarkan nyawa manusia menjadi murah hanya kerana keseronokan sementara yang haram dan merosakkan otak!

Berbaloikah?

Berapa banyak lagi nyawa perlu menjadi ‘statistik’ sebelum kita bertindak secara total?

Mungkin satu hari ahli keluarga kita pula yang akan menerima nasib yang sama.

Na’uzubillahi min zalik.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img